Proham Logo

Proham Logo

Wednesday 5 February 2014

Forum antara agama: Sistem pendidikan, sekolah kebangsaan punca polarisasi kaum

Peserta program `Dialog untuk Keharmonian' yang diadakan sempena Minggu Harmoni Antara Kaum Dunia di Kuala Lumpur, semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 6 Februari, 2014.                     

 


OLEH JENNIFER GOMEZ DAN SYAHIRAH RASHID February 06, 2014

Forum antara agama diberitahu semalam bahawa sekolah kebangsaan merupakan tempat bermulanya polarisasi kaum dan sistem pendidikan merupakan akar kepada masalah yang melanda negara pada ketika ini.

Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (Page), Datin Noor Azimah Abdul Rahim ketika bercakap di forum antara agama bertajuk "Dialog untuk Keharmonian" berkata, semuanya adalah tentang ketuanan Melayu di sekolah pada ketika ini.

PAGE adalah antara 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir pada forum yang diadakan sempena Minggu Keharmonian Antara Agama, dianjurkan secara bersama oleh Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).
"Satu cara untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan mengembalikan kegemilangan sekolah kebangsaan yang bermaksud lebih banyak mata pelajaran diajar dalam bahasa Inggeris, kerana pada ketika ini sekolah kebangsaan adalah sekolah Melayu dan tidak lebih daripada itu," katanya.
Beliau berkata, sesetengah kumpulan Islam yang ditaja kerajaan merupakan salah satu sumber kepada permasalahan itu.

Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Ratna Osman juga merungut tentang sistem pendidikan dan berkata, anak lelakinya diberitahu di sekolah untuk tidak bercampur dengan pelajar bukan Islam.
"Saya terkejut apabila seorang ustazah memberitahunya agar tidak bercampur dengan bukan Islam kerana mereka tidak seperti kita, kerana kita manusia terpilih.

"Saya terkejut kerana ini bukan jenis pendidikan yang saya terima 30 tahun lalu," kata Ratna.
Beliau juga mempersoalkan siapa yang memberikan kuasa kepada pertubuhan Islam ini untuk bercakap mewakili penganut agama itu di negara ini.

"Siapa yang beri mereka hak untuk mengatakan umat Islam merasa terguris dan tercabar sedangkan umat Islam di negara ini dikawal oleh kerajaan,” katanya.

Ratna berkata, beliau tidak faham bagaimana umat Islam boleh rasa tercabar apabila mereka merupakan 60% daripada populasi negara.

"Terdapat seorang menteri yang membuat kenyataan kita tidak boleh mengadakan dialog antara agama kerana kita istimewa.

"Sebagai seorang Islam, saya terhina dengan kenyataan tersebut. Jika kita mempunyai mentaliti seperti ini, kita tidak akan dapat mengadakan dialog antara agama," katanya.
Seorang peserta, Dr Hamidah Marican, berkata beliau menggesa agar "sistem pendidikan diambil daripada ahli politik dan diberikan kepada golongan sederhana."

Beliau juga menggesa Putrajaya untuk menyemak semula polisi kerajaan yang mendiskriminasi dan menjadikannya lebih inklusif.

"Polisi ini memberikan kesan di bawah dan orang muda di universiti yang sangat eksklusif pada ketika ini.

"Kita tidak mahu golongan muda kita jadi begini dan ini yang seharusnya kerajaan mulakan, lupakan tentang retorik 1Malaysia," katanya.

Seorang suri rumah dari Kelantan, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, berkata beliau bergaduh dengan umat Islam yang ekstrem dengan cara mereka dan mempunyai masalah untuk berbincang dengan mereka tentang agama.

Merujuk kepada kumpulan Melayu seperti Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa), beliau berkata, ahli politik yang memisahkan rakyat dengan menggunakan isu kaum, agama dan gender.

"Kita tidak perlukan ahli politik, suri rumah seperti kita boleh melakukannya," katanya merujuk kepada penyebaran perpaduan.
Ketua Pegawai Eksekutif GMM, Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan dua menteri Kabinet mengetuai dialog antara agama yang diadakan secara bersama.Ketua Pegawai Eksekutif GMM, Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan dua menteri Kabinet mengetuai dialog antara agama yang diadakan secara bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif GMM, Datuk Saifuddin Abdullah yang merupakan salah seorang ahli panel di forum itu mengakui, pada ketika ini, kumpulan Islam tidak mendekati bukan Islam dalam dialog antara agama.

Katanya, kerajaan seharusnya mendahului dalam isu ini dan beliau mencadangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menguruskan hal ehwal agama Islam dan Tan Sri Joseph Kurup - menguruskan hal ehwal bukan Islam untuk mengetuainya.

Menggelarnya "kolaborasi J dan J", Saifuddin berkata, kedua-dua menteri seharusnya mempengerusikan secara bersama dialog untuk memberikan lebih banyak kefahaman dalam isu antara agama, terutama berhubung penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Saifuddin berkata, tidak bermakna jika Kurup dan Jamil mengadakan dialog masing-masing secara berasingan.

"Mereka seharusnya melakukannya secara bersama, bagaimana untuk melakukannya? Sama ada secara tertutup, terpulang kepada mereka," katanya dan menambah beliau akan mencadangkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) pada 15 Febuari.
Saifuddin berkata, konflik agama di Malaysia pada ketika ini sudah menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa dan ini dapat dilihat dalam komen dibuat Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu.

Beliau merujuk kepada Pelapor Khas mengenai kebebasan beragama atau kepercayaan PBB, Heiner Bielefeldt yang menggesa kerajaan menarik kembali keputusan larangan penggunaan kalimah Allah ke atas penerbitan mingguan Kristian, Herald bagi merujuk kepada Tuhan, memberikan amaran kes tersebut mendatangkan implikasi kepada agama minoriti di Malaysia.

"Sebab itulah dialog antara agama perlu diadakan. Kita harus menunjukkan kepada rakyat Malaysia kita mampu membincangkan isu ini dengan cara bertamadun," kata Saifuddin.

Setiausaha Agung Proham, Datuk Dr Denison Jayasooria bersetuju dalam perdebatan mengenai isu kalimah Allah.

Denison berkata, mereka yang menentang penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam mungkin tidak pernah mengadakan dialog dengan penganut Kristian yang bersembahyang menggunakan bahasa Melayu.

"Mungkin mereka ini tidak pernah duduk berbincang dengan Kristian Sabah yang menggunakan Bible berbahasa Melayu sejak zaman nenek moyang mereka," katanya.

Pada tahun 1980-an, beberapa negeri dan jawatankuasa fatwa negeri meluluskan undang-undang menghalang penggunaan kalimah Allah dan beberapa perkataan Arab untuk digunakan bukan Islam. Ini termasuklah enakmen Selangor 1988 dan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Bagaimanapun, undang-undang ini tidak dikuatkuasakan secara meluas sehingga 2008 apabila Kementerian Dalam Negeri menghalang Herald menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan berbahasa Melayu mereka.

Terma ini digunakan oleh penganut Kristian yang bersembahyang dalam bahasa Melayu dan Iban seperti di Sabah dan Sarawak.

Dua pertiga daripada 2.9 juta penganut Kristian adalah dari Sabah dan Sarawak. Herald menang di Mahkamah Tinggi pada Januari 2009 yang membatalkan pengharaman Kementerian Dalam Negeri itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu pada 2013, mengatakan perkataan tersebut tidak mempunyai makna kepada agama Kristian. Pihak gereja pada ketika ini merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan tersebut. - 6 Febuari, 2014.


--------------------
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/forum-antara-agama-sistem-pendidikan-sekolah-kebangsaan-punca-polarisasi-ka


 

No comments:

Post a Comment